SEJARAH AWAL PUSAT SUMBER SMK KOTA KLIAS
Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Klias mula dibuka pada 1 Januari 1972. Nama institusi ini mengambil nama sempena lokasinya yang didirikan di Kampung Kota Klias. Sekolah ini terletak kira-kira 20 km dari Pekan Beaufort dan boleh dihubungi melalui jalan raya Beaufort-Menumbok.
Amnya, para pelajar yang menuntut di sekolah ini tinggal di kawasan sekitar dengan Kota Klias iaitu Kg.Nukahan, Kg.Sibagar,Kg.Layung, Kg.Klias Kecil, Kg.Rancangan Klias, Kg.Malabau dan Kg.Takuli. Pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada pelbagai etnik. Bagaimanapun , majoriti pelajar adalah berketurunan Bisaya dan Brunei. Rata-rata keluarga pelajar bekerja sebagai petani dan nelayan. Terdapat sebilangan kecil bekerja dengan pihak kerajaan dan pihak swasta.
Pada awal penubuhannya, SMK Kota Klias menumpang belajar paada sebelah petang di S.K Kota Klias dengan jumlah murid 82 orang, 3 orang guru dan seorang pengetua. Bagaimanapun, berkat komitmen dan kerjasama pihak pentadbir, masyarakat setempat dan Jabatan Pendidikan Sabah, keadaan sekolah ini mula berubah dari semasa ke semasa seiring dengan kemajuan dan perubahan sistem pendidikan negara ini.
Pada peringkat awal penubuhannya, Pusat Sumber SMK Kota klias terletak di tingkat satu blok A. Bermula pertengahan tahun 2011, lokasi pusat sumber berpindah ke bangunan baru yang terletak di tingkat dua. Perpindahan ini memberikan impak yang luas terhadap fungsi Pusat Sumber apabila PSS mempunyai Bilik APD dan Pusat Akses yang terletak di aras yang sama dengan PSS.